
Langit Biru… Begitu luas dan tiada berpenghujung. Sepanjang perjalanan hidup ini, yang saya kira penuh ranjau dan liku… tidak pernah tidak saya lupa untuk mendongakkan kepala memandang hamparan di langit. Melihat ia biru tatkala siang hari dan juga langit malam yang indah bertaburan bintang-bintang dan rembulan. Sesekali sayup-sayup imej kapal terbang juga berlayar di minda.
Terasa kerdil sungguh diri ini. Jangankan sebesar zarah, mungkin lebih kecil daripada itu. Itu saya tidak pasti. Bila asyik menikmati keindahan sang langit yang kadang dipenuhi pelbagai corak awan dan juga bintang, seolah-olah takjub.. tidak bermakna saya lupakan rumput di bumi. Kedua-duanya sama besar nilainya. Kadangkala, bila melihat rumput di kaki, seolah saya merenung ke arah diri sendiri.
Saya kira, kita berada di bawah langit yang sama… berkongsi bulan juga mendapat cahaya matahari yang sama. Tetapi kadang saya selalu terlupa yang kita berkongsi langit yang sama. Malah, kadangkala saya rasa hanya saya yang paling di sinari cahaya matahari, bersinar-sinar umpama cahaya rembulan di antara orang di sekeliling. Antogonisnya, kadang bayang hitam menyelubungi diri meninggalkan saya kelam seorang diri.
Agaknya, sudah resam kita manusia yang sentiasa alpa. Sebenarnya, jika mengikut perkiraan sebenar, kita tiada beza di ‘pandangan’ Tuhan Yang Maha Esa. Kita ini hanya manusia yang diciptakanNya, dan suatu hari nanti pasti akan kembali semula ke suatu alam yang abadi. Dan pada waktu itu, hanya amalan kita yang membezakan kita semua. Bukannya siapa yang paling banyak mendapat cahaya matahari atau siapa yang paling cantik bila terkena sinar rembulan.
Satu persoalan mahu saya ajukan kali ini. Sudahkah kalian merenung langit hari ini? Kala pandang langit biru, bersyukurlah kerana kita masih diberi peluang untuk memandangnya hari ini. Semoga kita masih ada kesempatan untuk memandang langit malam pula. Dan melihat lagi langit biru keesokan harinya. Ameen..
-nuna-


Latest Comments