Saya suka mengungkap kata-kata dari blog Kak Su; terapi jiwa. Sedikit sebanyak ia berkaitan dengan proses pemulihan dan membaikpulih inner-self. Betul, menulis di sini memberi satu kepuasan maksimum buat saya. Terapi jiwa lebih tepat. Saya boleh menulis apa saja yang terlintas di fikiran. Selalu luahan dalam bentuk bicara gagal, tapi di sini walaupun tidak dapat difahami oleh orang lain saya tetap puas. Sebab saya dah menulis apa yang perlu diluah.
Sungguh, bahasa itu abstrak. Hati boleh menjadi suka amat kalau orang faham apa yang saya mahu sampaikan. Seolah betul dia mengenali diri saya yang kompleks ini. Sungguh saya kompleks. Saya tidak tipu. Saya suka buat benda pelik. Kalau itu boleh mencapai tahap kepuasan untuk diri sendiri, saya buat. Saya suka berfikir pelik. Itu saya.
Selain menulis di blog, ada beberapa perkara pelik yang saya suka buat untuk terapi jiwa saya. Biasalah, orang yang suka bermain dengan emosi sendiri memang berada dalam kondisi yang bahaya. Di penghujungnya, perlu mencari penawar sendiri untuk mengubat hati yang lara. Kesian…
Saya pernah berada dalam kondisi yang sangat stress di mana saya mahu pandu kereta laju-laju seorang diri dan akhirnya saya sesat di kawasan perkuburan cina, jam 12 malam! Oh, ini saya dah buat banyak kali. Suka benar pandu laju-laju pada waktu malam. Nasib, tak kena saman. Tapi sejak sesat di kawasan perkuburan cina, saya serik! Sumpah tak tipu.
Shopping juga adalah salah satu terapi jiwa yang bagus untuk saya. (baca: saya perlukan duit yang banyak!) Selalu saya pergi ke pusat membeli-belah seorang diri dan menghabiskan duit dengan sekelip mata. Lepas itu, saya akan beri reward untuk diri saya sendiri; makan di tempat yang mahal-mahal seorang diri sambil memerhatikan perilaku manusia lain. Menarik, anda patut cuba!
Mahal juga kalau mahu shopping setiap kali tertekan bukan? Saya ada cara yang murah. Tunggu hujan. Selepas waktu hujan, cuba keluar berjalan seorang diri di kawasan yang ada tumbuhan hijau. Tarik nafas dalam. Tahan. Hembus perlahan-lahan. Apa kamu rasa? Puas dan sedikit tenang bukan? Walaupun sedikit, cukuplah untuk menahan diri daripada break.
Bagaimana kalau tak hujan? Oh, saya suka juga berjogging seorang diri. Rasa hawt sekejup bila jogging seorang diri, orang sana sini pandang (baca: maaf, perasaan sedikit
). Masa tu, saya akan berlari sampailah saya penat untuk lari dan juga penat berfikir selirat-selirat yang berserabut di dalam otak. Bagus, bukan? Boleh kurus juga! hehe
Paling tidak pun, saya akan rasa sedikit tenang bila mendengar suara orang tersayang. Suara itu seolah-olah merangkul erat memberikan seribu satu ketenangan. Sebab itulah setiap hari pasti saya akan menelefon mak. Walaupun mak tak tahu gelodak jiwa yang menghentam dinding hati, tapi cukuplah dengan mendengar suaranya. Mungkin saya sedikit melankolik. Peduli apa.
Bila saya gelisah dan resah, tak tahu nak buat apa. Saya tahu satu penyelesaian yang abadi. Kepada-Nya juga kita kembali. Sungguh, alunan-alunan ayat suci sangat menenangkan. Selalu saya manusia yang alpa ini lupa. Meratap hiba saya mengenangkan kelalaian diri…
p/s: Satu impian saya yang masih tidak tercapai. Saya mahu pergi ke suatu kawasan yang sangat tinggi dan memerhatikan segala hidupan di bawah sana. Cantik bila pada waktu malam memerhatikan suasana sebegitu. Ditambah pula dengan hiasan neon malam. Sungguh perfect! Bila agaknya, ya? Hmm, entah!
p/s/s: urghh.. encik nyamuk yang tidak hensem suka benar beri love-bite pada leher saya. Kuang asam betul, la!
-nuna-
Like this:
Be the first to like this post.
Latest Comments